Aman Shah atau nama sebenar Aman Shah Abu Kassim, 57, dituduh melakukan kesalahan itu bersama pasangannya, Rohana Awang, 33, di kuarters kerajaan Presint 15 pada jam 12.15 tengah malam, 26 November 2010.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 (a)& (b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berikutan itu, Hakim Mohd Zaky Mohammad menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM3,000 atau penjara tiga bulan terhadap pasangan itu apabila kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa.
Pendakwaan dibuat Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Hafiz Idris.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Adikku Pandai Menari itu dalam rayuannya memohon supaya mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana masih mempunyai tanggungjawab terhadap keluarganya.
“Saya mohon kepada Yang Arif, kalau boleh jangan dipenjarakan kerana saya terpaksa menunaikan tanggungjawab yang masih berlangsung. Saya mohon maaf dan amat kesal,” katanya sambil menundukkan mukanya.
Rohana dalam rayuan pula memohon mahkamah tidak mengenakan denda yang tinggi kerana memelihara dua anak, selain menanggung perbelanjaan adiknya yang masih belajar.
Aman Shah yang memakai baju kemeja-T berwarna putih, berseluar hitam dan berjaket tiba di mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi ditemani seorang dipercayai rakan, manakala pasangannya yang memakai kebaya berwarna jingga kecoklatan tiba ke mahkamah kira-kira 11 pagi, seorang diri.
Sementara itu, cubaan wartawan untuk menemubual Aman Shah selepas perbicaraan gagal apabila dia enggan memberi sebarang komen dan hanya berkata:
“Reporter (wartawan) tak boleh ampun dosa saya, hanya Allah saja”.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Zaky berkata, mereka hanya membuka pintu selepas 23 minit diketuk dan kejadian berlaku pada 12.15 tengah malam, sekali gus boleh menimbulkan syak berlebihan berlakunya kegiatan tidak bermoral di dalam kediaman berkenaan.
Katanya, setiap individu itu juga perlu menjaga akhlak dan moral masing-masing supaya tidak mengaibkan profesion masing-masing.
“Tertuduh pertama seorang yang amat dikenali, jadi menarik perhatian semua orang. Saya harap walau apa pun profesionnya, setiap orang yang ada dalam profesion itu perlu menjaga akhlak dan moral masing-masing dari aib supaya tidak menjadi satu profesion yang diragukan.
“Selain itu, saya bersetuju dengan pihak pendakwa syarie bahawa tertuduh sudah berada di hujung usia dan bila-bila masa boleh dijemput Allah. Jadi, muhasabah diri dan taubat nasuha.
“Tertuduh kedua pula tinggal di Pekan, Pahang, dekat dengan istana dan kawasan yang ramai orang agama. Jadi insaflah, kedua-duanya sudah berkahwin dan ada anak. Keinsafan itu perlu dizahirkan,” katanya.
Selain itu, pihak pendakwa dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat memandangkan artis berkenaan sudah berusia 57 tahun dan dianggap terlebih matang dan boleh menilai sendiri yang mana baik dan yang mana buruk.
“Malah, pada umur yang agak lanjut atau hujung usia itu saat kematian makin menghampiri. Bila-bila masa saja, kita boleh dipanggil Allah. Kalau penat pun, pada jam 12.15 malam tidurlah di rumah sendiri dengan isteri sendiri, bukannya di rumah perempuan lain yang langsung tidak ada ikatan dengan kita dan boleh menimbulkan syak wasangka jiran-jiran.
“Kedua-duanya, sudah berkahwin dan pernah berkahwin. Kalau tertuduh perempuan kata mohon denda dikurangkan kerana nak menyara anak dan adik yang belajar, saya rasa dia bukan satu contoh teladan yang baik kepada anak dan sebagai seorang kakak,” katanya.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota Penguat kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menjalankan pemeriksaan hasil aduan awam mengenai kes khalwat di rumah yang terletak di Blok C1, tingkat 2 unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, Putrajaya.
Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 11.30 malam, pasukan itu membuat pemantuan sebelum ternampak kelibat dua pasang kaki. Kemudian, ketua operasi mengarahkan anggotanya mengetuk pintu, bagaimana pun pintu dibuka selepas 23 minit diketuk.
Pintu dibuka jam 12.15 oleh seorang lelaki baju-T hitam berkolar dan berseluar biru, kemudian pihak penguatkuasa meminta kebenaran untuk masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan.
Ketika itu terdapat seorang wanita Islam duduk di kerusi meja makan dengan memakai baju-T dan seluar berwarna merah serta bertudung hitam dikenali sebagai Rohana Awang.
No comments:
Post a Comment